Monday, February 1, 2010

Bahayanya sentimen agama dan perkauman..



Sejak akhir-akhir ini,negara dikejutkan dengan peristiwa penyerangan gereja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Peristiwa yang berlaku di beberapa buah gereja antaranya Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja Life Chapel di Petaling Jaya yang terbakar akibat diserang dengan molotov koktail.Peristiwa itu disusuli dengan perbuatan khianat cubaan membakar surau di Muar dan melontar kepala babi di perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku ini menimbulkan persoalan dalam diriku bahawa sudah hilangkah sifat hormat-menghormati dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara yang sentiasa dilaung-laungkan itu.Rentetan beberapa tragedi kaum yang menodai keharmonian masyarakat tanah air kita masih tidak cukupkah untuk dijadikan panduan dalam membina kekuatan bangsa.Peristiwa 13 Mei 1969,tragedi Kg Rawa,tragedi Kg Medan masih segar dalam ingatan mereka yang sempat melalui saat-saat hitam itu. Dalam peristiwa-peristiwa yang tercetus itu, banyak nyawa orang yang tidak berdosa menjadi korban manakala pihak yang mencetuskan ketegangan bebas tanpa hukuman.Petualang-petualang negara ini harus ditangkap segera untuk mengelakkan sesetengah pihak menangguk di air keruh di dalam kekalutan yang tercetus.

Dalam mengatasi masalah ini,toleransi dalam kehidupan beragama wajar dijadikan panduan. Dialog antara ketua-ketua agama dan perbincangan empat mata harus diadakan untuk menyelesaikan masalah pergeseran kaum dan agama dalam negara kita. Media juga harus memainkan peranan untuk memulihkan keadaan ini daripada terus meruncing dan memupuk kembali perpaduan kaum. Semoga segala usaha-usaha murni yang dilakukan mendapat keberkatan daripada Allah untuk mencapai keberkatan dalam apa jua usaha kita....

No comments:

Post a Comment